Wednesday, August 6, 2008

kebaya1

Baju kebaya dipakai oleh wanita Melayu. Ada dua teori tentang asal baju kebaya. Satu mengatakan perkataan 'kebaya' itu berasal daripada perkataan Arab habaya yang bermaksud pakaian labuh yang berbelah di hadapan. Satu lagi mengatakan pakaian seumpama ini dibawa oleh Portugis ke Melaka, maka sebab itulah kebaya telah lama dipakai di Melaka; bukan sahaja oleh wanita Melayu tetapi juga oleh wanita Cina Peranakan (Baba) dengan sedikit perbezaan dalam potongan dan gaya memakainya.


Baju Kebaya Labuh

Baju kebaya yang asal direka labuh hingga ke paras lutut ataupun lebih. Tangannya panjang dan lebar. Bahagian badannya mengikut potongan badan dan melebar ke bawah bermula dari bahagian punggung. Bahagian hadapannya pula berbelah dan berkolar sampai ke kaki baju. Bahagian yang berbelah ini disemat dengan tiga kerongsang berasingan atau yang berangkai dengan rantai halus. Kerongsang ini dikenali sebagai ibu dan anak kerongsang. Kerongsang yang besar dan di atas sekali dipanggil ibu dan dua lagi yang kecil dan dipakai bawah kerongsang ibu dipanggil anak.

Kebaya ada pelbagai gaya. Contohnya di Selangor, kebayanya tidak berkolar. Di Perak pula lengan kebayanya sangat lebar berbanding dengan kebaya di negeri-negeri yang lain. Di Pahang pula, baju kebayanya yang dikenali sebagai baju Riau Pahang mempunyai leher berkolar dan berkancing seperti baju kurung cekak musang tetapi bahagian hadapannya juga berbelah seperti baju kebaya yang lain; malah turut dipasangkan kerongsang di bawah kancingnya yang berbutang itu.
Pakaian merupakan salah satu keperluan asas manusia iaitu berfungsi sebagai melindungi tubuh dari kepanasan, kesejukan serta ancaman-ancaman lain. Hiasan diri pula digunakan dan dipakai sebagai pelengkap kostum dan menyerikan lagi si pemakai. Bagi masyarakat Melayu, pakaian dan hiasan diri pada asalnya lebih berfungsi sebagai simbol kedudukan dan kekuasaan seseorang dalam masyarakat. Namun fungsi pakaian dan hiasan semakin berkembang dan berubah mengikut peredaran zaman. Kini ia lebih penting sebagai bahan fesyen iaitu sesuatu yang lebih menitikberatkan daya kreatif penciptanya.